Sunday, 15 May 2011

Hari Guru

Masih ingat hari pertama aku mengajar… aku terpaksa mengheret perasaan ini masuk ke dunia yang telah lama aku tinggalkan… Bayangkan dengan persekitaran yang agak kasar sebelum itu,  aku terpaksa masuk ke ruang  yang dipenuhi kanak-kanak yang pelbagai ragam… di dindingnya ada terlukis hiasan kartun-kartun… penuh warna warni yang menambah kesemakan di kepalaku… aku juga kadangkala terasa seperti gergasi memandangkan kerusi meja dalam bilik itu begitu comel bentuknya…. Nyata sekali aku tidak terlatih untuk semua itu… memang itupun jawatan yang diberikan pada aku…Guru Sandaran Tak Terlatih…
Bermula dengan separa terpaksa, aku semakin menyukai persekitaran baru itu… banyak yang aku belajar… aku kerapkali merangsang minda anak muridku untuk bertanya… ini kerana pertanyaan dari seorang kanak-kanak biasanya memang jujur… adakalanya aku menjawab dengan sambil tersenyum sinis mengejek diriku sendiri… contohnya bila aku syorkan kepada mereka supaya menepati waktu… aku sendiri pun kadang-kadang lambat… jadi untuk aku tidak mengejek diriku lagi, aku cuba untuk menepati waktu….. Memang banyak yang mengubah aku di persekitaran baru itu… kita boleh menjadi guru dan murid dalam masa yang sama dan pada bila-bila masa asalkan kita ikhlas mengajar dan mahu belajar… alam ini adalah sekolah yang menawarkan pelbagai matapelajaran untuk dipelajari…
Aku menulis ini sempena Hari Guru… Hari yang memang istimewa buat guru-guru…. Pada hari ini akhbar ghairah menceritakan kebaikan guru serta pengorbanan yang dilakukan selama ini. Bagaimana guru mendidik anak bangsa, bagaimana guru meninggalkan kampung halaman dan masuk ke pendalaman demi mencurahkan ilmu pengetahuan… malangnya cuma pada Hari Guru itu sahaja…. Selainnya kalau ada cerita tentang guru di dada akhbar, kebanyakannya pasti yang tak enak didengar… Namun ketika aku berada di bidang pendidikan sebagai seorang guru, rata-rata guru memang seperti yang tertulis di dada akhbar pada Hari Guru setiap tahun… Kebanyakannya ikhlas dan berdedikasi dalam melaksanakan tugas… kalaupun ada yang tidak begitu adalah kerana sikap individu itu sendiri….
Semasa aku menjadi murid juga aku dianugerah tuhan dengan guru-guru yang baik… Walaupun ada yang melempang dan merotan atas kesalahan kecil yang tak masuk akal… aku tidak mahu menaruh dendam… jasa mereka dalam memandaikan aku sedikit sebanyak memang tidak terbalas... terima kasih cikgu… Aku berpeluang meraikan Hari Guru dan masih ingat keriangan hari tu… Cuma di kali yang kedua aku meraikannya ada berita duka yang dahulu tiba… Al-Fatihah aku buat anak muridku yang pergi buat selamanya… hari itu bercampur semuanya suka duka… airmata yang keluar tak tahu gembira atau hiba… Semoga dia aman di sana sementara menunggu kita semua tiba…. Satu lagi pelajaran dikirimNya.... mati itu datang tanpa mengira usia
Kepada semua aku ucapkan Selamat Hari Guru… Semoga kita semua akan menjadi manusia berilmu… Amin