Tuesday, 26 April 2011

Buruh

engkau adalah kelangsungan hidangan
di meja santapan
adalah keuntungan buat majikan
adalah kesempatan buat niagawan
kadangkala bajingan bagi kuasawan

peluhmu tercurah keringat diperah
selagi ada kekuatan kau digunakan
dihisapnya engkau habis-habisan
dikerahnya engkau mengukur jalan
bila usia memanjat senja engkau dipinggirkan
dengan alasan penjimatan, engkau dibersarakan
hakikatnya engkau itu telah habis kegunaan
tiada lagi memberi keuntungan
ibarat mesin tua yang tak berbaloi diselenggarakan

sementara ada kesempatan kumpulkan kekuatan
julang genggaman tangan, laung tuntutan
jalan bergandingan, suarakan kesepakatan
basmi ketidakadilan dan lakukan semua itu tanpa sempadan

jangan pernah terlukis di hati garis yang memisahkan
sempadan bangsa sempadan negara
tak terpakai untuk proletar semua
membantulah kita sesama pekerja sesama manusia
sambut komradmu andai dia rebah nanti
bela nasibnya bila dia ditindas lagi
biarpun cuma sembang penyulam kopi
biarpun cuma doa dalam hati
solidariti sampai mati

buat mereka yang memburuh demi cintanya, kuucapkan selamat hari pekerja
kudoakan semoga maju jaya…

Wednesday, 13 April 2011

Manusia Seribu Cerita

Lebih kurang 9 tahun dulu ketika aku mengambil upah menjual kuih dan kerepek di bandar Kajang dia selalu datang ke gerai aku dan memeras tanpa segan silu.... 2 ringgit harga tetap... pada mulanya aku juga seperti kebanyakan orang, memberikan wang kerana tidak mahu diganggu... bukan berasaskan konsep sedekah sangat... pemberian itu sebenarnya lebih kepada upah supaya jangan mengganggu aku.... soalan pahala hanya tuhan yang punya jawapan.

Lama-kelamaan aku tertarik dengan alasan yang diberi... tidak sekalipun dia memberi alasan yang sama setiap kali dia meminta duit dariku... semuanya pasti berlainan dari yang sebelum-sebelumnya... ada sahaja cerita di sebalik kesusahannya untuk hari itu... mungkin semuanya rekaan, tapi aku tak pernah ambil kisah. Cerita yang diceritakan semakin hari semakin panjang semakin menarik... diselitkan dengan nyanyian lagu-lagu meruntun jiwa... jujur kukatakan dia punya suara yang hebat... memandangkan ketika tengahari aku agak kurang sibuk, dia akan melepak berhampiran geraiku dan bercerita... upahnya cuma 2 ringgit... walaupun aku boleh ke panggung wayang untuk menonton filem dengan segala kesan khas tapi cerita mamat ni lebih memberi kesan... cerita yang tepi jalan ini kadang kala sampai ke langit tinggi perginya....

Begitulah tuhan menganugerahkan manusia ini dengan kebolehan bercerita yang sangat bagus... bayangkan jika dia ada sebatang pen dan buku serta sedikit kerajinan pasti akan lahir karangan-karangan yang bagus... ini kerana dia ini nyata sekali sangat jarang kekurangan idea... perjalanan hidupnya dijaja sebaik mungkin demi mencari sesuap simpati dari manusia sepertiku... aku pasti ada yang mendorongnya giat bercerita begini... mungkin didorong kelaparan.... kecintaan... ataupun ketagihan... itu urusan dia dan tuhan... yang penting kebaikan dalam apa yang diceritakan.

Semalam aku didatangi seorang lelaki.... " Dik mintak 3 ringgit... abang tunggu tauke abang... dia tak datang lagi, perut lapar ni... tadi buat kerja kat Sungai Chua takde kedai makan melayu.... nak naik motor, member abang lak pakai" katanya panjang lebar. Aku sedikit tersenyum.... dia masih mengekalkan rekodnya, seribu satu cerita di seribu satu masa... walaupun sudah 9 tahun tak bersua...

Monday, 4 April 2011

Rindu Anak Itu

Sedang aku asyik melepak di kedai kegemaranku, aku disapa oleh seorang kanak-kanak... Anak ini sememangnya sering menegurku bila berselisih denganku... adakala aku akan meluangkan sedikit masa menyelam ke alam remaja anak itu dengan berborak sekadar boleh... Namun perkhabaran yang diceritakan kepadaku semalam agak meruntun jiwa.... dia menceritakan yang dia baru sahaja kehilangan ibu yang dikasihinya.... subjek kematian  nyata agak berat untuk ditangani oleh anak ini... walaupun sekali-sekala dia mengukir senyuman... terpacul juga di mulutnya menyatakan kesunyian yang tidak tertahan dengan pemergian ibunya.... aku amat yakin tiada kata yang mampu mengubat duka tragedi ini, kehilangan ahli keluarga sememangnya adalah peristiwa yang akan terus kekal dibawa bersama hingga akhir hayat nanti... hanya masa mengubat segala duka... aku cuba menenangkan anak itu dengan saranan padanya untuk berdoa bagi kesejahteraan ibunya pada tuhan.... spontan dia menjawab "saya tak tahu... macam mana nak doa, bang" aku pesan padanya (sebenarnya pesan itu untuk aku), bahawa setiap yang kita minta pada tuhan adalah doa, kerana tuhan itu sangat kuat mendengar, Dia sentiasa ada sepanjang masa dan juga memahami pelbagai bahasa.. dia senyum seolah-olah mengiakan... harapku malam itu dia berdoa pada tuhan... semoga tuhan meringankan beban kerinduan anak itu.... sebagaimana tuhan menolong aku dahulu....

Friday, 1 April 2011

Menulislah kamu supaya kamu dituliskan…

“Adat orang melayu tidak mencatat sejarah keturunan mereka” itu kata-kata Kassim Ahmad dalam salah sebuah bukunya. Saya sangat bersetuju dan merasa sedikit terpukul dengan petikan kata-kata itu. Sejujurnya, saya   memang tidak pernah berjaya menulis diari hingga akhir tahun… selalunya akan terbengkalai di tengah jalan (itupun kalau boleh bulan Mac itu dikira sebagai di tengah jalan)…. mungkin kerana hidup saya yang agak rutin dan hari demi hari menulis perkara yang sama membuatkan saya lebih selesa membiarkan helaian itu kekal bersih tanpa dicemari dakwat pen saya…

Kebelakangan ini ramai di antara kawan-kawan saya mula menulis melalui blog masing-masing… dan saya seringkali merasa terhibur dengan penulisan mereka-mereka ini… ada yang berat dan ada juga yang ringan… pelbagai subjek disajikan kepada pembaca-pembaca seperti saya…. kiri, kanan, sederhana, radikal, keagamaan, cinta damai, kemanusiaan dan bermacam lagi… ini secara tidak langsung memperkayakan saya dengan kisah-kisah kehidupan buat tauladan di masa hadapan, kerana mustahil dalam hidup yang sesingkat ini saya dapat melakonkan semua watak dalam pementasan arahan tuhan ini… terima kasih saya untuk mereka.
Pada pendapat saya manusia mempunyai pelbagai alasan untuk menulis… Ada yang menulis bagi menyatakan kemeranaan jiwa… ada yang menulis bagi menyatakan penghargaan atas kehidupan yang membahagiakan… tulisan juga kadangkala adalah untuk mengimbau kenangan… namun yang paling penting tulisan juga adakalanya secara sedar ataupun tidak menjadi doa penulis kepada tuhan…
Saya pula secara peribadi menganggap penulisan adalah sebagai cara saya untuk mengenang fasa-fasa yang telah saya lalui dalam hidup ini…. Mengambil kesempatan ke atas tekonolgi, saya menulis di sini dan moga ianya bisa menjadi diari saya sendiri yang boleh saya imbas di masa senggang nanti... Walau apa pun alasannya, penulisan perlu dihargai dan ditulis seikhlas hati… kerana di luar sana ada ramai yang seperti saya yang akan membacanya dengan rakus sekali…
Selamat menulis buat semua…