Monday, 15 August 2011

gua dan Liverpool Football Club.... II

Jikalau John Houlding ada petang itu, pasti dia sendiri tidak menyangka pasukan Everton yang ditubuhkannya dahulu sudah menjadi sebesar ini… Pasti tidak terfikir olehnya akan ada sebuah perhimpunan besar-besaran penyokong The Reds di sebuah stadium yang terletak lebih 10000 kilometer dari Jalan Anfield. Di sebuah negara yang hampir tiada Scouser. Jumlahnya sahaja sudah boleh memenuhi dua stadium Anfield…
Kedatangan LFC ke tanah air sememangnya sangat dinanti-nantikan oleh gua dan soldadu-soldadu merah yang lain. Peluang sebegini memang sukar untuk gua uzurkan begitu sahaja. Biarpun bayaran tiket yang agak mahal serta waktu perlawanannya yang di luar kebiasaan gua menonton bolasepak, gua tetap ingin turut serta. Seorang rakan menyatakan kekagumannya kerana ada yang sanggup membayar 68 ringgit untuk sekeping kertas buat menyaksikan satu pertunjukan… memang benar, ianya cuma sekeping kertas untuk gua lolos bagi menyaksikan suatu hiburan…. Tetapi gua turut serta kerana ianya adalah satu sejarah… inilah kali pertama LFC mendarat ke bumi Malaysia ini…. 68 ringgit untuk sekeping kertas bersejarah pada gua sememangnya murah….
Petang itu, gua bersama dua komrad seperti sang pencinta sedang bersedia untuk ketemu blind datenya…. Sedikit gementar… mana tahu kalau permainan petang itu hambar dan sambil lewa…maklum sahaja perlawanan petang itu lebih kepada hiburan bukannya perlawanan sebenar. Petang itu gua perhatikan, ramai penyokong LFC mahu turut sama dalam upacara bersejarah itu… ramai di antara mereka yang lebih muda dari gua… ini bermakna mereka ini tidak ada kena mengena dengan zaman emas Liverpool satu ketika dahulu… ini satu petanda yang baik… juga satu alasan untuk menunjukkan LFC adalah pasukan sepanjang zaman… bukan disanjung hanya ketika menang… Banyak faktor yang mempengaruhi semua itu… pengaruh rakan sebaya dan malam ajaib 25 Mei di Istanbul adalah di antaranya. Gua merasa sedikit bangga apabila 3 rakan gua yang menyokong LFC setelah bersahabat  dengan gua turut menghadirkan diri… malah mereka membeli tiket yang lebih mahal dari gua… no problem… itu kebahagian masing-masing…
Gua sedikit kecewa bila di sebuah akhbar ada tertulis “Patriotiklah sikit….”… mencintai pasukan bolasepak kebangsaan dan mencintai Negara Malaysia adalah dua persoalan yang berbeza… apatah lagi bagi sebuah perlawanan yang bersifat pertunjukan… terus terang gua katakan gua lebih menyokong  LFC dari pasukan Malaysia dan gua bersedia untuk dikritik… terpulang masing-masing menilainya… manusia menunjukkan kecintaan pada Negara dengan cara masing-masing… ke stadium bukan satu-satunya cara untuk menunjukkan semangat patriotik… kalau seorang kanak-kanak tidak membuang sampah merata-rata kerana tidak mahu tempatnya kotor, itu juga patriotik…
Petang itu sememangnya sangat menghiburkan…  bagi seorang yang sudah jatuh cinta sejak 1989 temu janji pertama ini sememangnya tidak menghampakan…. Sebelum berpisah petang itu, Stadium Bukit Jalil mendendangkan You’ll Never Walk Alone yang terhangat pernah gua rasakan…. Akan dikisahkan tanpa jemu yang gua ada di stadium pada petang itu…. Kekallah semua ini dalam ingatan… terpahatlah sejarah buat kenangan.

Buat semua soldadu merah, diucapkan semoga maju jaya…

Wednesday, 13 July 2011

Haruman


Bersempena ulang tahun kelahiran si pemberinya
Kusarung haruman itu dengan rasa yang masih sama
Rasa kasih seperti tahun-tahun terdahulunya
Bau rindunya masih berbisa
Walaupun yang tinggal cuma sisa
Sehabisnya haruman ini nanti
Kuharap ingatan padanya tak pula terhenti
Bagaikan si kiri yang setia merindu revolusi
Segar mewangi sampai mati
Menjadi wangianku di dunia abadi…

Tuesday, 12 July 2011

Lepak

“Lepak tu maknanya duduk-duduk sementara menanti apa nak buat” lebih kurang begitu penerangan yang diberikan oleh pakcikku apabila aku menanyakan makna perkataan lepak yang baru disebutnya. Peristiwa bersejarah itu berlaku jauh lebih lama sebelum perkataan lepak itu dipopularkan oleh para bijak pandai dan ahli politik serta akhbar-akhbar tempatan… yang lebih parah adalah bila ditambah dengan GEJALA dihadapannya…. Dah namanya gejala memang nyata sekali tidak enak untuk didengar…. Tak pernah pulak aku mendengar gejala ke masjid atau gejala bersedekah atau segala perbuatan yang baik itu didahului dengan perkataan gejala. Aku bukanlah mahu mengiakan perbuatan yang sia-sia atau membuang masa begitu sahaja, tapi sahihkah yang melepak itu perbuatan yang sedemikian. Pada aku, setiap aktiviti perlu diukur dengan pengisiannya.

Aku ini boleh dikatakan pelepak separa tegar, hanya  bolasepak dan pembaringan yang nyaman sahaja yang boleh menghalang aku dari keluar melepak. Aktiviti ini aku telah lakukan dari dulu lagi… tembok… hentian bas… surau… padang… gerai burger… kedai kopi semuanya pernah menjadi tempat aku melepak. Sudah banyak masa yang aku buang untuk aktiviti ini… namun dalam melayani minat aku ini pelbagai cerita pelbagai tauladan dapat aku kutip sepanjang perkenalan aku dengan pelepak-pelepak itu. Sesungguhnya aku berterima kasih kepada tuhan kerana mempersembahkan cerita-cerita kehidupan yang hebat sepanjang aku melepak.

Kadangkala aktiviti ini hanyalah untuk bersuka ria dan ianya dipandang sebagai satu yang membazir oleh sesetengah orang. Sememangnya tanggapan mereka itu ada benarnya. Namun hakikatnya mereka ini melepak dan bergelak ketawa sebagai penghilang pedih memburuh di siang hari… hanya mereka yang memandang dengan teliti akan dapat melihatnya. Di kelompok lepak ini biasanya hanya akan terdengar gelak dan ketawa bergurau senda… di persidangan ini kedukaan adalah barang terlarang… namun kadangkala berjaya juga diseludup masuk menjadi usul untuk dibincangkan… semuanya dengan senang meminjamkan telinga untuk mendengarnya dan kalau ada lebihan simpati dikongsi tanpa sangsi.

Tidak aku nafikan banyak yang buruk dari baik dalam aktiviti ini tapi mereka yang matang akan melihat aktiviti ini sebagai medan untuk berkenal-kenal sesama manusia, medan bertukar-tukar cerita, dan kadangkala aktiviti lepak ini juga digunakan untuk menulis semula sejarah… penyataan ini pasti mengundang sinis, tapi percayalah… matapelajaran sejarah bukan lagi eksklusif untuk diajar di sekolah atau menara gading sahaja. Memang di sini tiada jaminan yang semua diajar adalah betul tetapi itulah gunanya akal…. Sekurang-kurangnya ia bisa menjadi pencetus…. Dari meja di kedai kopi pulang berinternet di rumah, maka pengetahuan pun akan bertambah…. Dari tembok di tepi simpang bergegas pulang mencari buku, maka terungkailah bermacam ilmu….

Apa yang penting bagaimana kita mengisi ruang yang diberikan tuhan… moga-moga kita semua tak dipersoalkan… Amin…

Thursday, 2 June 2011

Maaf

petang itu terheret aku oleh takdirNya
bertemu engkau yang indah rupa
satu permulaan musim indah
yang tak mungkin aku lupakan
kejap erat menjadi kenangan
semusim yang penuh dengan senyuman
terceliknya mata adalah keriangan

ingin sekali aku mengenangmu
dengan yang indah-indah sahaja
namun tak mungkin itu terjadi
selagi  tak ku layangkan utusan maaf ini
 maaf atas beribu dosaku padamu
yang tak terlafaz olehku satu persatu
semua yang ego, yang keras kepala,
yang berdusta, yang meringankan segalanya
itu aku, aku akui... semua itu aku....
yang  jelek itu memang aku....
tiada kekhilafan takdir di situ

kalau kau mengasihani aku, maafkan saja diriku
pilih saja yang mana satu dosaku padamu
asal kau bisa memaafi aku
selebihnya tinggalkan sahaja pada tuhan 
untuk menghukumku
pernah sekali sekala aku
mendoakan kebahagianmu pada tuhan
aku harap itu dijadikan petimbangan
dalam kau membuat penghakiman
dengan maaf ini aku kira
terburailah segala yang terbuku
tertunailah tanggungjawabku
... manusia yang berdosa padamu
sekali lagi kuseru, maafilah diriku...

Sunday, 15 May 2011

Hari Guru

Masih ingat hari pertama aku mengajar… aku terpaksa mengheret perasaan ini masuk ke dunia yang telah lama aku tinggalkan… Bayangkan dengan persekitaran yang agak kasar sebelum itu,  aku terpaksa masuk ke ruang  yang dipenuhi kanak-kanak yang pelbagai ragam… di dindingnya ada terlukis hiasan kartun-kartun… penuh warna warni yang menambah kesemakan di kepalaku… aku juga kadangkala terasa seperti gergasi memandangkan kerusi meja dalam bilik itu begitu comel bentuknya…. Nyata sekali aku tidak terlatih untuk semua itu… memang itupun jawatan yang diberikan pada aku…Guru Sandaran Tak Terlatih…
Bermula dengan separa terpaksa, aku semakin menyukai persekitaran baru itu… banyak yang aku belajar… aku kerapkali merangsang minda anak muridku untuk bertanya… ini kerana pertanyaan dari seorang kanak-kanak biasanya memang jujur… adakalanya aku menjawab dengan sambil tersenyum sinis mengejek diriku sendiri… contohnya bila aku syorkan kepada mereka supaya menepati waktu… aku sendiri pun kadang-kadang lambat… jadi untuk aku tidak mengejek diriku lagi, aku cuba untuk menepati waktu….. Memang banyak yang mengubah aku di persekitaran baru itu… kita boleh menjadi guru dan murid dalam masa yang sama dan pada bila-bila masa asalkan kita ikhlas mengajar dan mahu belajar… alam ini adalah sekolah yang menawarkan pelbagai matapelajaran untuk dipelajari…
Aku menulis ini sempena Hari Guru… Hari yang memang istimewa buat guru-guru…. Pada hari ini akhbar ghairah menceritakan kebaikan guru serta pengorbanan yang dilakukan selama ini. Bagaimana guru mendidik anak bangsa, bagaimana guru meninggalkan kampung halaman dan masuk ke pendalaman demi mencurahkan ilmu pengetahuan… malangnya cuma pada Hari Guru itu sahaja…. Selainnya kalau ada cerita tentang guru di dada akhbar, kebanyakannya pasti yang tak enak didengar… Namun ketika aku berada di bidang pendidikan sebagai seorang guru, rata-rata guru memang seperti yang tertulis di dada akhbar pada Hari Guru setiap tahun… Kebanyakannya ikhlas dan berdedikasi dalam melaksanakan tugas… kalaupun ada yang tidak begitu adalah kerana sikap individu itu sendiri….
Semasa aku menjadi murid juga aku dianugerah tuhan dengan guru-guru yang baik… Walaupun ada yang melempang dan merotan atas kesalahan kecil yang tak masuk akal… aku tidak mahu menaruh dendam… jasa mereka dalam memandaikan aku sedikit sebanyak memang tidak terbalas... terima kasih cikgu… Aku berpeluang meraikan Hari Guru dan masih ingat keriangan hari tu… Cuma di kali yang kedua aku meraikannya ada berita duka yang dahulu tiba… Al-Fatihah aku buat anak muridku yang pergi buat selamanya… hari itu bercampur semuanya suka duka… airmata yang keluar tak tahu gembira atau hiba… Semoga dia aman di sana sementara menunggu kita semua tiba…. Satu lagi pelajaran dikirimNya.... mati itu datang tanpa mengira usia
Kepada semua aku ucapkan Selamat Hari Guru… Semoga kita semua akan menjadi manusia berilmu… Amin

Tuesday, 26 April 2011

Buruh

engkau adalah kelangsungan hidangan
di meja santapan
adalah keuntungan buat majikan
adalah kesempatan buat niagawan
kadangkala bajingan bagi kuasawan

peluhmu tercurah keringat diperah
selagi ada kekuatan kau digunakan
dihisapnya engkau habis-habisan
dikerahnya engkau mengukur jalan
bila usia memanjat senja engkau dipinggirkan
dengan alasan penjimatan, engkau dibersarakan
hakikatnya engkau itu telah habis kegunaan
tiada lagi memberi keuntungan
ibarat mesin tua yang tak berbaloi diselenggarakan

sementara ada kesempatan kumpulkan kekuatan
julang genggaman tangan, laung tuntutan
jalan bergandingan, suarakan kesepakatan
basmi ketidakadilan dan lakukan semua itu tanpa sempadan

jangan pernah terlukis di hati garis yang memisahkan
sempadan bangsa sempadan negara
tak terpakai untuk proletar semua
membantulah kita sesama pekerja sesama manusia
sambut komradmu andai dia rebah nanti
bela nasibnya bila dia ditindas lagi
biarpun cuma sembang penyulam kopi
biarpun cuma doa dalam hati
solidariti sampai mati

buat mereka yang memburuh demi cintanya, kuucapkan selamat hari pekerja
kudoakan semoga maju jaya…

Wednesday, 13 April 2011

Manusia Seribu Cerita

Lebih kurang 9 tahun dulu ketika aku mengambil upah menjual kuih dan kerepek di bandar Kajang dia selalu datang ke gerai aku dan memeras tanpa segan silu.... 2 ringgit harga tetap... pada mulanya aku juga seperti kebanyakan orang, memberikan wang kerana tidak mahu diganggu... bukan berasaskan konsep sedekah sangat... pemberian itu sebenarnya lebih kepada upah supaya jangan mengganggu aku.... soalan pahala hanya tuhan yang punya jawapan.

Lama-kelamaan aku tertarik dengan alasan yang diberi... tidak sekalipun dia memberi alasan yang sama setiap kali dia meminta duit dariku... semuanya pasti berlainan dari yang sebelum-sebelumnya... ada sahaja cerita di sebalik kesusahannya untuk hari itu... mungkin semuanya rekaan, tapi aku tak pernah ambil kisah. Cerita yang diceritakan semakin hari semakin panjang semakin menarik... diselitkan dengan nyanyian lagu-lagu meruntun jiwa... jujur kukatakan dia punya suara yang hebat... memandangkan ketika tengahari aku agak kurang sibuk, dia akan melepak berhampiran geraiku dan bercerita... upahnya cuma 2 ringgit... walaupun aku boleh ke panggung wayang untuk menonton filem dengan segala kesan khas tapi cerita mamat ni lebih memberi kesan... cerita yang tepi jalan ini kadang kala sampai ke langit tinggi perginya....

Begitulah tuhan menganugerahkan manusia ini dengan kebolehan bercerita yang sangat bagus... bayangkan jika dia ada sebatang pen dan buku serta sedikit kerajinan pasti akan lahir karangan-karangan yang bagus... ini kerana dia ini nyata sekali sangat jarang kekurangan idea... perjalanan hidupnya dijaja sebaik mungkin demi mencari sesuap simpati dari manusia sepertiku... aku pasti ada yang mendorongnya giat bercerita begini... mungkin didorong kelaparan.... kecintaan... ataupun ketagihan... itu urusan dia dan tuhan... yang penting kebaikan dalam apa yang diceritakan.

Semalam aku didatangi seorang lelaki.... " Dik mintak 3 ringgit... abang tunggu tauke abang... dia tak datang lagi, perut lapar ni... tadi buat kerja kat Sungai Chua takde kedai makan melayu.... nak naik motor, member abang lak pakai" katanya panjang lebar. Aku sedikit tersenyum.... dia masih mengekalkan rekodnya, seribu satu cerita di seribu satu masa... walaupun sudah 9 tahun tak bersua...