Wednesday, 13 July 2011

Haruman


Bersempena ulang tahun kelahiran si pemberinya
Kusarung haruman itu dengan rasa yang masih sama
Rasa kasih seperti tahun-tahun terdahulunya
Bau rindunya masih berbisa
Walaupun yang tinggal cuma sisa
Sehabisnya haruman ini nanti
Kuharap ingatan padanya tak pula terhenti
Bagaikan si kiri yang setia merindu revolusi
Segar mewangi sampai mati
Menjadi wangianku di dunia abadi…

Tuesday, 12 July 2011

Lepak

“Lepak tu maknanya duduk-duduk sementara menanti apa nak buat” lebih kurang begitu penerangan yang diberikan oleh pakcikku apabila aku menanyakan makna perkataan lepak yang baru disebutnya. Peristiwa bersejarah itu berlaku jauh lebih lama sebelum perkataan lepak itu dipopularkan oleh para bijak pandai dan ahli politik serta akhbar-akhbar tempatan… yang lebih parah adalah bila ditambah dengan GEJALA dihadapannya…. Dah namanya gejala memang nyata sekali tidak enak untuk didengar…. Tak pernah pulak aku mendengar gejala ke masjid atau gejala bersedekah atau segala perbuatan yang baik itu didahului dengan perkataan gejala. Aku bukanlah mahu mengiakan perbuatan yang sia-sia atau membuang masa begitu sahaja, tapi sahihkah yang melepak itu perbuatan yang sedemikian. Pada aku, setiap aktiviti perlu diukur dengan pengisiannya.

Aku ini boleh dikatakan pelepak separa tegar, hanya  bolasepak dan pembaringan yang nyaman sahaja yang boleh menghalang aku dari keluar melepak. Aktiviti ini aku telah lakukan dari dulu lagi… tembok… hentian bas… surau… padang… gerai burger… kedai kopi semuanya pernah menjadi tempat aku melepak. Sudah banyak masa yang aku buang untuk aktiviti ini… namun dalam melayani minat aku ini pelbagai cerita pelbagai tauladan dapat aku kutip sepanjang perkenalan aku dengan pelepak-pelepak itu. Sesungguhnya aku berterima kasih kepada tuhan kerana mempersembahkan cerita-cerita kehidupan yang hebat sepanjang aku melepak.

Kadangkala aktiviti ini hanyalah untuk bersuka ria dan ianya dipandang sebagai satu yang membazir oleh sesetengah orang. Sememangnya tanggapan mereka itu ada benarnya. Namun hakikatnya mereka ini melepak dan bergelak ketawa sebagai penghilang pedih memburuh di siang hari… hanya mereka yang memandang dengan teliti akan dapat melihatnya. Di kelompok lepak ini biasanya hanya akan terdengar gelak dan ketawa bergurau senda… di persidangan ini kedukaan adalah barang terlarang… namun kadangkala berjaya juga diseludup masuk menjadi usul untuk dibincangkan… semuanya dengan senang meminjamkan telinga untuk mendengarnya dan kalau ada lebihan simpati dikongsi tanpa sangsi.

Tidak aku nafikan banyak yang buruk dari baik dalam aktiviti ini tapi mereka yang matang akan melihat aktiviti ini sebagai medan untuk berkenal-kenal sesama manusia, medan bertukar-tukar cerita, dan kadangkala aktiviti lepak ini juga digunakan untuk menulis semula sejarah… penyataan ini pasti mengundang sinis, tapi percayalah… matapelajaran sejarah bukan lagi eksklusif untuk diajar di sekolah atau menara gading sahaja. Memang di sini tiada jaminan yang semua diajar adalah betul tetapi itulah gunanya akal…. Sekurang-kurangnya ia bisa menjadi pencetus…. Dari meja di kedai kopi pulang berinternet di rumah, maka pengetahuan pun akan bertambah…. Dari tembok di tepi simpang bergegas pulang mencari buku, maka terungkailah bermacam ilmu….

Apa yang penting bagaimana kita mengisi ruang yang diberikan tuhan… moga-moga kita semua tak dipersoalkan… Amin…