Friday, 1 April 2011

Menulislah kamu supaya kamu dituliskan…

“Adat orang melayu tidak mencatat sejarah keturunan mereka” itu kata-kata Kassim Ahmad dalam salah sebuah bukunya. Saya sangat bersetuju dan merasa sedikit terpukul dengan petikan kata-kata itu. Sejujurnya, saya   memang tidak pernah berjaya menulis diari hingga akhir tahun… selalunya akan terbengkalai di tengah jalan (itupun kalau boleh bulan Mac itu dikira sebagai di tengah jalan)…. mungkin kerana hidup saya yang agak rutin dan hari demi hari menulis perkara yang sama membuatkan saya lebih selesa membiarkan helaian itu kekal bersih tanpa dicemari dakwat pen saya…

Kebelakangan ini ramai di antara kawan-kawan saya mula menulis melalui blog masing-masing… dan saya seringkali merasa terhibur dengan penulisan mereka-mereka ini… ada yang berat dan ada juga yang ringan… pelbagai subjek disajikan kepada pembaca-pembaca seperti saya…. kiri, kanan, sederhana, radikal, keagamaan, cinta damai, kemanusiaan dan bermacam lagi… ini secara tidak langsung memperkayakan saya dengan kisah-kisah kehidupan buat tauladan di masa hadapan, kerana mustahil dalam hidup yang sesingkat ini saya dapat melakonkan semua watak dalam pementasan arahan tuhan ini… terima kasih saya untuk mereka.
Pada pendapat saya manusia mempunyai pelbagai alasan untuk menulis… Ada yang menulis bagi menyatakan kemeranaan jiwa… ada yang menulis bagi menyatakan penghargaan atas kehidupan yang membahagiakan… tulisan juga kadangkala adalah untuk mengimbau kenangan… namun yang paling penting tulisan juga adakalanya secara sedar ataupun tidak menjadi doa penulis kepada tuhan…
Saya pula secara peribadi menganggap penulisan adalah sebagai cara saya untuk mengenang fasa-fasa yang telah saya lalui dalam hidup ini…. Mengambil kesempatan ke atas tekonolgi, saya menulis di sini dan moga ianya bisa menjadi diari saya sendiri yang boleh saya imbas di masa senggang nanti... Walau apa pun alasannya, penulisan perlu dihargai dan ditulis seikhlas hati… kerana di luar sana ada ramai yang seperti saya yang akan membacanya dengan rakus sekali…
Selamat menulis buat semua…

No comments:

Post a Comment